Kami berlepas dari KLIA2 ke New Zealand pada hari Sabtu, jam 11:10 malam. Bermula sahaja perjalanan kami, sudah ada cabaran, dugaan yang menimpa. Daus di tahan kerana tidak membayar PTPTN dia untuk sekian lama. Ini adalah satu kejutan untuk kami semua, dan terutama tuan punya badan, sebab dia baru sahaja pulang dari Amerika beberapa minggu lepas dengan tujuan bekerja. Walau bagaimana pun, semuanya di permudahkan dan kami dapat berlepas tepat pada waktunya.
Penerbangan kami singgah di Gold Coast dahulu untuk transit dan setelah sejam di sana baru perjalanan kami bersambung semula ke destinasi New Zealand. Di anggarkan perjalanan selama 8 jam (tambah tolak dengan perbezaan masa), kami sampai di lapangan terbang Auckland pada jam 4:30 petang.
Sesudah sampai sahaja, kami terus menyewa Uber untuk ke destinasi pertama kami iaitu Siesta Hotel, di Auckland. Kurang sejam, kami sudah sampai ke hotel tersebut.
Ini kerana campervan yang kami tempah hanya boleh di ambil pada keesokkan hari. Dengan kami yang berada dalam keadaan penat, kerana sampai pada lewat petang, pejabat syarikat campervan itu sudah pun tutup beroperasi pada waktu kami sampai.
Motel yang kami sewa, boleh kata 'just nice' untuk kami tidur semalaman. Semata-mata untuk berehat satu malam sahaja.
Malam tiba awal di New Zealand. Jam 7 petang, langit sudah pun gelap. Kami hanya berehat untuk beberapa minit sahaja dan kemudian membuat keputusan untuk keluar mengambil angin sejuk, sambil mencari makan di kawasan yang berhampiran.
Sesudah penat berjalan untuk beberapa minit, kami singgah di sebuah restoran yang menghidangkan makanan halal kebab di sekitar kawasan tersebut.